BUDAK CIKGU!


Wacana perjumpaan awal telah dijalankan pada 29 Oktober 2011 di Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) Bangi bagi membuat persediaan Konvensyen Mahasiswa Pendidikan Kebangsaan 2011.Pra-Konvensyen ini telah dihadiri hampir 30 orang wakil pemimpin dari Fakulti Pendidikan seluruh Institusi Pengajian Tinggi  di Malaysia.  Konvensyen yang akan diadakan julung-julung kalinya pada 2 hingga 4 Disember 2011 di Kompleks Tun Abdullah Mohd Salleh, UKM.

Pra-Konvensyen ini telah dirasmikan oleh Presiden Persatuan Mahasiswa  UKM (PMUKM) saudara Leftenan Muda Ahmad Muzzammil Bin Muhd Hairi dan diikuti dengan penerangan serta perbincangan tentatif program dari pihak penganjur. Dalam masa yang sama diadakan  perbincangan bersama tentang isu semasa yang berlegar dalam dunia pendidikan. Banyak perkara yang dibangkitkan dari masalah yang berlaku di dalam kampus kepada masalah yang bersifat nasional. Isu berkaitan lambakan graduasi fakulti pendidikan yang sudah lama menyelesaikan program graduasi, isu pembekuan penempatan guru-guru novis sehinggalah isu berkaitan pemberian hak permohonan biasiswa Kementerian Pelajaran Malaysia.


Perkara ini sangat penting bagi kita sebagai pelajar-pelajar yang bakal berstatus pendidik untuk mengambil cakna akan hal-hal yang berlaku dalam dunia pendidikan. Resolusi daripada Pra-Konvensyen ini telah disepakati oleh semua perwakilan yang hadir bahawa pertamanya, menubuhkan Gabungan Mahasiswa Pendidik Kebangsaan yang bakal menggabungkan semua mahasiswa pendidikan di seluruh IPT termasuk dari Institut Perguruan Malaysia (IPGM) dan perkara kedua mengadakan Konvensyen Mahasiswa Pendidikan Kebangsaan secara berkala pada setiap tahun di seluruh IPT Malaysia.


Saya selaku Timbalan Presiden II  “Bachelor of Education Students Association” (BEDSA) UIAM, mengalu-alukan penglibatan semua mahasiswa Institut Pendidikan UIAM untuk turut serta dalam Konvensyen Mahasiswa Pendidikan Kebangsaan 2011. 


Share:

2 comments